Rabu, 28 Disember 2011

ciskek oh ciskek

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Masa birthday aku baru ni, aku ada cuba buat ciskek (baca: cheese cake) yang tak payah bakar tapi tak jadi sebab aku tak letak gelatin pasal tak jumpa gelatin halal kat sini. Untuk birthday Ain kali ni, Ain mintak aku buat ciskek lagi. Aku pun tanya Imah macam mana nak buat ciskek, Imah ajak buat sama-sama tapi ciskek ni kena bakar dalam oven. Imah suruh ikut resepi Traditional Baked Cheesecake dalam website Philadelphia tapi kitorang ada jugak modify sikit-sikit.

Bahan-bahan:
- 250 g biskut Digestives
- Butter (tak pasti banyak mana sebab Imah yang cairkan)
- 300 g Original Philadelphia cheese (Imah kata tak boleh guna yang light)
- 200 g gula kastor
- 4 biji telur
- 40 g tepung gandum
- 1 sudu jus lemon

Cara-cara:
- Hancurkan biskut, gaul dengan butter, tekan-tekan dalam loyang, sejukkan.
- Putar cheese dengan gula sampai lembut.
- Masukkan telur satu persatu, putar lagi.
- Masukkan tepung sikit-sikit sambil putar lagi.
- Masukkan jus lemon dah putar lagi sampai semua sebati.
- Tuang bahan-bahan yang diputar atas biskut dalam loyang tadi.
- Masukkan dalam oven yang dah dipanaskan dan bakar dalam sejam.

p/s: Sekarang kitorang tengah tunggu ciskek tu masak dalam oven.
Lepas ni kena bagi sejuk dulu dalam sejam, baru boleh letak dalam peti ais.

:: wallahu a'lam ::

Jumaat, 9 Disember 2011

bulan oh bulan

:: bismillahirrahmanirrahim ::

 Cuba carik apa common thing / persamaan dalam tiga status FB ni:




Ada 2 common things:
1) Tiga-tiga sebut pasal bulan.
2) Tiga-tiga tu lelaki punya status, jiwang kan dorang ni?

Hari ni 9/12/2011, 13 Muharram -> bulan penuh. Kat Malaysia dah malam dan dah ada bulan tapi kat sini masih siang jadi aku tak dapat nak tengok bulan yang 'cantik', 'menyejuk & mendamaikan hati' dan 'indah' seperti yang dikatakan oleh mereka-mereka di atas tu. Kalau sekarang aku kat Malaysia pun rasanya aku tak tengok kot bulan tu sebab aku tak jiwang macam dorang. Haha. Ye, aku jiwang cara lain, itu aku setuju. Mungkin jugak bulan tu cantik sebab esok ada gerhana bulan penuh, tadi terbaca kat sini.


Orang kata: "Walau jarak memisahkan kita, kita masih melihat pada bulan yang sama". Aku terfikir, kalau A dan B masing-masing berada di benua yang berbeza, tak semestinya mereka dapat tengok bulan tu serentak pada waktu yang sama walaupun bulan yang dorang tengok tu adalah bulan yang sama. (Yela, takkan bulan yang berbeza pulak kan sebab bulan kan ada satu je kat bumi ni). Itulah yang berlaku sekarang, mereka di Malaysia sedang melihat bulan tapi aku di sini masih melihat matahari.

Bila tiba malam nanti, bulan yang aku akan lihat pasti takkan sama rupa dengan bulan yang mereka lihat. Bulan yang 'sama tapi tak serupa'. Ada satu bait lagu Indonesia: "Lihatlah bulan yang sama agar kita merasa dekat", nampaknya lagu ni tak berkesan untuk aku sebab bila tengok bulan aku rasa makin jauh pulak dengan orang-orang kat Malaysia sebab melihat bulan pada waktu yang berbeza dengan mereka membuatkan jarak ini terasa begitu jauh.

p/s: Jiwang di kejauhan itu normal.

:: wallahu a'lam ::

Ahad, 4 Disember 2011

cleverbot oh cleverbot

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Kat UIA dulu kalau tak silap dalam subjek Health Comminication, doktor tu pernah cerita pasal artificial intelligence (AI). Nak tau lanjut pasal AI ni silalah Google sebab aku belum cukup hebat untuk terangkan kat sini. Tapi bolehlah dikatakan AI ni macam daya intelek yang diadaptasi dari manusia dan diprogramkan pada mesin atau robot (haha ni definisi aku sendiri, kalau salah sila maafkan).

Dan tadi aku terjumpa satu website cleverbot.com yang guna AI ni. Kat website ni kita boleh chat dengan Mr. / Ms 'Entah-Sape-Sape' yang akan layan apa je yang kita cakap (baca: taip). Sesuai la untuk orang yang bosan-bosan tak tau nak sembang dengan siapa. Aku pun layan gak tadi, bukan sebab aku bosan atau desperate nak sembang, tapi saja nak test sejauh mana 'intelligent'nya AI ni.


Hasilnya takdelah mengagumkan sangat AI ni. Nama pun artificial kan, ciptaan manusia mestilah takkan dapat setanding dengan original intelligence created by Allah. Sebenarnya panjang lagi dialog kitorang ni tapi aku printscreen part ni je sebab ini je yang ada menunujukkan sedikit kebijakan AI ni, perhatikan ayat dia  kat bawah tu: "Kau ingat kau abang long dil?". Cis, mana dia tau nama aku Dil?

Tapi lepas tu tanya "Mana awek kau?", nampak sangat la dia tak tau yang aku ni perempuan. Oh tak cukup bijak rupanya. Dan banyak la lagi contoh-contoh yang menunjukkan kitidak-bijakan, yang dia tau mencarut je banyak. Kalau aku cakap Melayu, dia boleh jawab Melayu. Cakap English, dia balas English. Tapi kalau aku campur Melayu & English, dia terus jadi bingung dan bagi respon yang takde kaitan.

Kesimpulannya secanggih mana pun ciptaan manusia, malah kalau dikumpulkan seluruh kebijaksanaan manusia untuk mencipta sesuatu, ciptaan tersebut masih tak akan dapat menandingi kehebatan ciptaan Allah yang Maha Esa dan Maha Kuasa. Subhanallah.

:: wallahu a'lam ::

Rabu, 30 November 2011

amazon oh amazon

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hihu. Hihu. First time aku shopping online kat amazon.com. Sebelum ni selalu je usya-usya barang-barang kat amazon tu tapi tak pernah lagi beli apa-apa. Semalam berjam-jam aku dok mengadap amazon dan hasilnya aku terbelanja sebanyak £43 ++ untuk empat barang. Barang-barangnya ialah... Jeng jeng jeng~ Rahsia! Hihu. Hihu. Tak sabarnya nak tunggu barang-barang tu muncul depan pintu rumah.

:: wallahu a'lam ::

interkalari oh interkalari

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Surah at-Taubah 9: 36 - 37







:: wallahu a'lam ::

Selasa, 29 November 2011

peta oh peta

:: bismillahirrahmanirrahim ::


:: wallahu a'lam ::

london oh london

:: bismillahirrahmanirrahim ::

23/11/2011 pukul 4.45 petang waktu UK, aku dan Ain bertolak ke London naik coach National Express dari stesen Chorlton Street. Dalam bas tu borak tak ingat dunia, mentang-mentanglah kitorang je Melayu dalam tu so tak kesahlah kalau orang dengar pun apa yang kitorang borakkan sebab dorang mesti tak faham punya. Tapi dengan tak semena-mena ada orang tegur kitorang suruh perlahankan suara, haha buat malu orang Melayu je kitorang ni. Yela, sekarang kan malam menjelang lebih awal dari biasa (aku dah siap solat jamak Maghrib & Isyak sebelum bertolak), so semua orang pun nak tidur jelah kan bila dah malam. Kitorang je borak sakan macam dah lama tak jumpa.

Dalam pukul 10 malam kitorag sampai kat Victoria Coach Station (London), Kak Mimi dah tunggu kat situ untuk bawak kitorang balik ke rumah dia di South Wimbledon. Lepas makan malam kat rumah Kak Mimi, Gaban (suami Kak Mimi) pun sampai dari tempat kerja. Gaban kerja jadi waiter kat kedai makan Tuk Din yang ada dalam cerita Rooney & Drogba (JoZan) tu. Kami pun berbincang kejap pasal nak berjalan ke mana untuk esok sebelum kitorang masuk tidur. Rumah Kak Mimi ada satu bilik tidur dan satu tandas dalam bilik tidur tu. Kitorang memang tak kesah je tidur kat ruang tamu tapi Kak Mimi & gaban insisted jugak suruh kitorang tidur dalam bilik atas katil dorang. Huhu, segannya tapi terpaksalah jugak.

Esoknya kami pun memulakan perjalanan meneroka kota London. Banyak jugaklah tempat yang kami sempat singgah sepanjang berada kat London tu. Ni senarai tempat-tempat yang berjaya dikunjungi (tak mengikut susunan mana dulu/kemudian, ikut mana-mana yang aku ingat je).

- Tower Hill
- Tower Bridge
- London Bridge
- St Paul Cathedral
- MSD / Malaysian Hall
- Kensington Park
- Hyde Park
- London Dungeon
- Madame Tussauds
- Portabello Market
- Islamic Center (tak ingat nama penuh)
- Westfield
- Buckingham Palace
- The Big Ben
- Oxford Street
- Oxford Circus

Kedai-kedai makan pulak:
- Mazar (kedai Arab)
- Cafe kat MSD (Melayu)
- Bonda Cafe kat MARA Hall (Melayu)
- Makan (Melayu)
- Tuk Din (tak dapat masuk sebab penuh)
- Waffle Palace
- Kedai India halal (tak ingat nama)

Tu jelah nama-nama tempat yang aku ingat. Kalau ada tempat-tempat yang aku tak ingat nak tulis kat sini kira halal jelah ye. Hari Sabtu kami ke Cambridge untuk ziarah Madam Norsyam & Bro SKA. Madam masak nasik ayam, aku makan banyak gila sebab sedap sangat sampai sakit-sakit perut. Sempat gak membuang kat rumah Madam tu. Haha. Esoknya Ahad, aku dan Ain bertolak pulang ke Manchester. Kat rumah Ain, aku sempat solat jamak Zohor & Asar dan Maghrib & Isyak dulu, baru balik rumah aku kat Rusholme. Oh, rindunya pada bilikku yang tak seberapa ni.

Aku yang macho di Kensington Park.
(Gambar Ain tangkap)

Tupai yang berjaya menjatuhkan ke'macho'an aku.
Ter'over-friendly' sampai buat aku ter-menjerit depan Ain, Kak Mimi & Gaban.
(Gambar aku tangkap (selepas ter-jerit), cun kan?)

:: wallahu a'lam ::

Isnin, 21 November 2011

solat oh solat

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Dulu masa kerja kat 1Utama, alasan masalah utama aku untuk solat ialah kekangan waktu bila terlalu banyak customers terutamanya hujung-hujung minggu, alhamdulillah masalah tu dapat ditangani dengan agak baik. Kat UK ni pulak, waktu solat tu takde masalah sebab kelas tak packed sangat. Kalau tengah kelas pun, boleh je keluar kejap konon-konon nak pergi toilet padahal pergi solat. Cuma masalah kat sini ialah, nak carik tempat yang sesuai untuk solat sebab dekat-dekat kelas tu tak disediakan surau. Kalau kat 1Utama tu walaupun susah nak curik-curik masa untuk solat, tapi tempat solat takde masalah sebab surau dekat je.

Bagi mengatasi masalah tempat solat ni, kitorang nekad solat je kat mana-mana ikut suka. Kalau kat library, selamba je solat kat lobby tingkat bawah tu. Awal-awal dulu segan la jugak nak solat depan orang. Tapi sebenarnya orang kat sini tak kesah pun kita buat apa, asal tak menyusahkan dorang sudah. Kalau dapat book study room, dapat la solat dalam study room tu. Kurang sikit segan walaupun study room tu transparent dan orang dari luar boleh nampak bulat-bulat apa yang kita buat kat dalam tu. Kalau study room Stopford Library lagi best, sebab takde orang nampak dari luar.

Tapi sekarang, tempat solat bukan lagi satu masalah. yang penting: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kannn. kalau kelas kat Stopford, kitorang terus solat je dalam kelas tu bila kelas dah habis dan semua orang dah keluar. Kalau kelas kat Carys Bannister, boleh solat samada kat Emergency Exit (sebab takde orang lalu situ) atau tandas OKU (toilet ni bersih, mungkin takde orang guna). Kalau kat University Place atau bangunan-bangunan lain, boleh je carik mana-mana classroom yang kosong dan tumpang solat kat situ, dalam 5 minit je pun, ataupun kurang. Senang kan?

Kesukaran untuk solat tu cuma ujian di awal-awal dulu je. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi ujian tersebut dengan tidak menjadikan kesukaran tersebut sebagai alasan untuk tidak menunaikan solat. Tipsnya cuma kena ambil wudhuk siap-siap sebelum keluar rumah dan cuba sedaya-upaya jaga wudhuk tu. Saat paling sadis ialah, bila tanpa sengaja tersentuh kulit lelaki (e.g. classmate) setelah berjam-jam kita jaga wudhuk tu sementara nak tunggu masuk waktu solat. Nak tak nak, terpaksa la wudhuk semula. Takpe, selangkah kita mendekatkan diri pada Allah, beribu langkah Allah akan menghampiri kita.

Pengalaman bersolat dalam sebuah galeri kat Chester.


Satu kisah masa kitorang tengah lepak kat lobby John Rylands Library:
Walaupun kitorang selalu solat dengan selamba kat sini, tapi kitorang cover2 la jugak, carik port yang penjuru-penjuru sikit supaya tak terlalu obvious walaupun masih ada yang boleh nampak. Satu hari ada seorang perempuan duduk kat penjuru tu. Kitorang pun segan la nak solat terlalu dekat dengan dia, takut dia rasa tak senang. Masa kitorang dok pening-pening pikir pasal tempat solat, tiba-tiba perempuan tu tanya: "Are you Muslim? Is there any mosque around here?". Wah, dia ni Muslim rupanya. Aku pun ambil kesempatan bagitau hajat kitorang, "Yes, there's one at the back of this buliding, and u've to cross a road to go there. Normally WE JUST PRAY HERE." Dan lepas tu kitorang pun solat la kat situ dengan senang  hati tanpa rasa bersalah. And again, di mana ada kemahuan, di situ PASTI akan ada jalan. 

Aku bukan nak menunujuk macamlah aku ni rajin solat, cuma nak berkongsi pegalaman bersolat di tempat-tempat yang kalau kat Malaysia mesti orang-pandang-pelik-kalau-solat-kat-situ. Ketika bersolat kat tempat-tempat tersebut, memang terasa dalam hati bahawa Islam itu sangat mudah dan memudahkan. Sungguh indah berada dalam nikmat Islam, alhamdulillah. Aku rasa kat Malaysia pergi mana-mana pun, tak pernah lagi rasa macam tak tau nak solat kat mana sebab hampir semua tempat dan bangunan ada surau. Malah kat sesetengah bangunan tu, setiap tingkat ada surau masing-masing. Dalam surau ada tempat wudhuk lagi. Peluang untuk solat memang terbuka luas, kalau tak solat jugak tu tak taulah nak cakap apa.

:: wallahu a'lam ::

Sabtu, 19 November 2011

jodoh oh jodoh

:: bismillahirrahmanirrahim ::



Status di atas aku post kat FB pagi semalam (Jumaat). Hari ni Sabtu dan esok Ahad 20.11.2011, hari pernikahan Akak insyaAllah. Semoga semuanya berjalan lancar. Memikirkan pasal pernikahan akak kadang-kadang buat aku terfikir pasal jodoh. Bukan jodoh aku, tapi JODOH secara umum. Ramai yang selalu bertanya. "Manalah jodoh aku ni, tak sampai-sampai lagi". Aku terfikir, kalaulah JODOH itu satu entiti, mungkin inilah antara jawapan-jawapan JODOH pada soalan tersebut:

1) Aku dah dekat sangat dah ni, sikit je lagi aku sampailah. (Yayy!)

2) Aku on the way lagi, dah nak sampai nanti aku bagitau ok. Sabar ye.

3) Aku baru bertolak. Jangan risau, kalau takde aral aku akan sampai jugak.

4) Aku dah siap ni tapi tak boleh bertolak lagi sebab cuaca tak mengizinkan.

5) Aku tetap akan datang tapi bukan dalam masa terdekat, mungkin lambat lagi.

6) Maaf, aku tak akan pergi pada engkau. (Ok, fine...)

Ini cuma cetusan seorang aku. Apapun, jodoh tertakluk pada kuasa, kehendak dan izin Allah. Kita hanya mampu berusaha setakat yang termampu, selebihnya harus tawakkal serta redha. Dan ada satu quote pasal jodoh yang aku paling suka "Jodoh dan ajal di tangan Tuhan. Jangan risau kalau takde jodoh sebab ajal PASTI ada" (Zul Opto-mate).

:: wallahu a'lam ::

Ahad, 13 November 2011

nottingham oh nottingham

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Semalam 12/11/2011, kitorang (aku, Ain & Halima) pergi University of Nottingham sebab ada Nottingham Malaysian Games (NMG) 2011 kat situ. NMG ni atau nama glemer dia Nott Games ni ialah acara sukan tahunan antara pelajar-pelajar Malaysia dari seluruh pelusuk UK mewakili universiti masing-masing. Time nilah dapat peluang jumpa budak-budak Malaysia dari seluruh UK, tapi yang paling best sekali Notts Games ni sebab dapat jumpa macam-macam makanan Malaysia.

Kitorang bertiga datang Nott Games bukan untuk tengok orang main, apatah lagi untuk bagi sokongan kat pemain-pemain dari University of Manchester sebab kitorang bukan kenal sangat pun budak-budak Manchester. Kitorang pergi sana banyak tangkap gambar dan carik makanan je. Apapun, pemandangan sekitar University of Nottingham memang cantik dan suasana dia memang berbeza dengan University of Manchester sebab universiti kitorang city campus, dorang closed campus.

Salah satu memori di Nottingham.
Dari kiri: Halima, Kak Faridah (London), Kak Auliana (Cardiff), aku, Ain.
Kak Faridah & Kak Auliana tu sama kumpulan dengan Ain masa BTN.

Satu lagi benda yang best kat University of Nottingham ni ialah bangunan Student Union dia ada surau, tandas dan tempat wudhuk yang selesa. Patutlah budak-budak malaysia suka buat sukan kat situ. Student Union kitorang takde surau pun. Dan kat Manchester ni aku tak pernah jumpa lagi salur paip yang dipasang dalam tandas macam tandas kat surau semalam. Once again, toilet dan aku memang tak dapat dipisahkan.

p/s: Hari ni aku sakit perut sebab semalam makan tak ingat dunia.
Oklah nak pergi toilet jap (kali ketiga untuk pagi ni).

:: wallahu a'lam ::

Rabu, 9 November 2011

soffiya oh soffiya

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Aku baru habis tengok episod terakhir (Ep 28) drama Soffiya yang disiarkan di TV3 dalam slot Akasia (Isnin - Khamis), tapi kat sini aku tengok kat YouTube je. Kalau kat Malaysia, episod 28 ni disiarkan semalam (Selasa) tapi hari ni (Rabu) baru ada orang upload kat internet. Jadi lambatlah aku dapat tengok cerita ni berbanding orang kat Malaysia. Tapi aku tetap setia, tak pernah missed satu episod pun cerita ni.

Nak cakap drama ni best sangat pun takdelah jugak, tapi biasalah kalau dah tengok beberapa episod tu ter-addicted la pulak untuk tengok sampai habis. Mungkin sebab episod-episod awal drama agak catchy dan banyak menguji emosi penonton, sampai dengan aku-aku yang bukan kaki drama ni pun rasa macam nak tahu sangat-sangat macam mana ending dia.

Mungkin jugak sebab pelakon-pelakon utamanya yang bolehlah dikatakan berbakat, iaitu Tiz Zaqyah (Soffiya), Fizo Omar (Ilyas), Azhar Sulaiman (Kamal) & Izara Aisyah (Fiona). Aku rasa siapa-siapa yang ikut drama ni mesti akan agak in the end, Soffiya tetap akan dapat bersama Ilyas tapi rupanya tak, dia dengan Kamal jugak. Haha, malas nak cerita panjang-panjang, nak tau tengok sendiri.

Lagu tema Soffiya: "Masih Jelas"

Umum menganggap bahawa aku bukan peminat cerita cinta, dan tanggapan itu masih benar dan relevan sampai sekarang. Aku tau drama Soffiya ni pun cerita cinta tapi macam aku cakap tadi, permulaan cerita yang catchy tapi bukan berunsur cinta telah berjaya meramaikan penontonnya termasuk aku. Dan sebenarnya, ada 'sebab' lain yang buat aku tengok cerita ni, tapi 'sebab' ini adalah rahsia.

Apapun, banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari cerita Soffiya ni samada secara langsung atau tak langsung. Antaranya:
- Bukan semua orang bernasib baik macam kita.
- Jangan keterlaluan memanjakan anak.
- Bila kita jahat dengan orang, lambat laun Allah akan balas.
- Hargailah manusia yang hadir dalam hidup kita.
- Berterus-terang dalam rumahtangga itu sangat perlu.
- Orang yang jahat pada orang lain tak akan hidup tenang.
- Solusi untuk apa jua masalah ialah: kembali pada Islam.


The best quote from this drama:
"Dugaan Allah terlalu hebat, sama macam nikmatNya".

:: wallahu a'lam ::

Isnin, 7 November 2011

aidiladha oh aidiladha

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Semalam 6/11/2011 bersamaan 10 Zulhijjah 2011 iaitu hari raya haji, merupakan kali pertama aku beraya tanpa keluarga di sisi. Nak kata sedih tu takdelah sangat sebab tak rasa macam raya pun kat sini. Hari sebelumya ialah hari Arafah (9 Zulhijjah), aku dan Ain puasa dan berbuka kat McDougall bersama muslimah-muslimah dari negara lain, anjuran ISoc. Makan nasi Arab dengan ayam (2 jenis masakan), kambing bakar, salad dan kek. Balik dari iftar, aku tumpang tidur kat rumah Ain.

Esoknya, kitorang plan nak pergi solat raya kat McDougall pukul 10 a.m. Bila dah keluar rumah dalam pukul 9.30 a.m (siap dengan baju raya ok), baru Adyda bagitau yang depan rumah Ain tu ada surau. Jadi kitorang (aku, Ain, Adyda, Halima & Fizz) pun solat kat situ. Sempat ikut satu rakaat je sebab mungkin dorang start solat pukul 9.30 a.m. Masa khutbah selepas solat, ada orang edarkan kek. Terpaksa makan kek sambil dengar khutbah yang tak difahami sebab dalam bahasa Arab.

Lepas solat, dengan baju kurungnya kitorang (aku, Ain & Halima) ke Longsight naik bas. Makan satu set baklava kat Anmol Sweet House, lepas tu shopping kat Worlwide dan Asda. Dari Asda, aku dan Ain balik dulu naik bas sebab nak masak dulu kat rumah (Ain dan housemates plan nak masak soto sempena raya). Halima kena tunggu Fizz ambil dengan kereta sebab dorang buat groceries, so barang banyak gila kalau nak bawak naik bas.

Baklava yang manis gila! Dont try if u're on diet.

Sampai rumah Ain, solat zohor jap dan mula memasak. Ain selaku ketua chef, aku pulak cuma tolong buat begedil je. Dalam pukul 4 p.m, aku naik atas untuk solat Asar dan turun dapur balik lepas maghrib untuk makan. Fuhh, kenyang gila walaupun segan sebab aku sorang je bukan penghuni rasmi rumah tu. Lepas makan sempat timbang berat jap, takde turun langsung! Ceh, penat je setiap hari jalan kaki jauh-jauh. Lepas Isyak, kitorang pergi makan-makan lagi kat rumah kak Rabiah sampai pukul 12a.m. Malam tu Ain tidur rumah aku.

Esok paginya, lepas subuh dan sarapan makanan yang kak Rabiah tapaukan semalam (kuih raya, nasi impit, rendang & kuah kacang), Ain sambung tidur dan aku bukak Facebook dan berblog sampai sekarang. Huhu, amcam raya haji kitorang? Tak se-syok raya kat Malaysia kan... Ohhh, redha!

:: wallahu a'lam ::

begedil oh begedil

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Semalam hari pertama Aidiladha 1432H, aku lepak rumah Ain je. Tolong-tolong Ain dan housemates dia buat soto. Tapi aku tak tolong sangat buat sup soto tu sebab aku tak terror. Aku tolong buat accessory dish je iaitu begedil. First time kot buat begedil though it's one of my top favourites! Kitorang ikut resepi yang senang je tapi sedap wei...

Bahan-bahan:
1) 5 bijik kentang besar (direbus & dilenyek)
2) 500 g daging cincang (digoreng sekejap)
3) 5 batang daun bawang (dihiris halus)
4) Bawang goreng, garam & lada sulah (ikut suka)
5) Telur (untuk salut)

Cara-cara:
Masukkan semua bahan-bahan 1 sampai 4 di atas, bentukkan ikut shape kesukaan anda, celupkan dalam telur dan goreng. Sempoi giler sesuai dengan imej sempoi aku, haha!

Hasilnya:
Sebelum dicelup telur & digoreng.
(Ni baru sebahagian, ada lagi yang belum digentel)

Inilah soto Ain. Perhatikan begedil di tengah-tengah mangkuk.

Resepi yang aku tulis tu dapat menghasilkan kuantiti begedil yang agak banyak (tak sempat kira berapa biji). Jadi kitorang goreng sikit je untuk dimakan, selebihnya kitorang freeze supaya boleh digoreng dan dimakan di kemudian hari. 

p/s: Kedua-dua gambar adalah ihsan kamera baru Ain yang diupload di Facebook beliau di mana aku juga ditag di situ.

:: wallahu a'lam ::

Rabu, 19 Oktober 2011

penyapu oh penyapu

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Imah kata rumah ni takde penyapu, dorang selalu vacuum je. Tapi aku rasa leceh guna vacuum, takkanlah sampah sikit pun nak guna vacuum cleaner. Nak pasang plug, nak sorong benda alah tu lagi dah satu kerja. Maka pada satu hari aku pun nekad membeli penyapu & penyodok (£2 per set) kat kedai yang dekat dengan rumah (kalau kat kedai jauh nanti segan lak nak bawah penyapu sepanjang jalan). Sempat jugak aku beli baldi, perfume bilik, crisps etc. Aku keluar kejap je dan terus balik rumah.

Tapi sampai rumah je baru aku perasan yang aku tak bawak kunci. Waa!!! Camne nak masuk rumah ni? Imah dan Hanin keluar pergi city. Aku call Imah, Imah kata dia terus pergi kelas tapi Hanin akan balik rumah dulu sebelum pergi kelas. Masalahnya dorang tak setel lagi urusan kat city tu, so aku kena tunggu dalam 2 jam lagi. Nak taknak, terpaksa gak aku carik tempat yang boleh lepak-lepak dan sasaran terdekat ialah Platt Field Park. Mujurlah aku bawak buku sebelum keluar rumah tadi, adalah jugak aktiviti untuk mengisi masa lapang di samping memakan crisps yang baru beli tadi.

Takkanlah aku nak bawak baldi, penyapu & penyodok tu sampai ke Platt Field kan. Terpaksalah aku tinggalkan semua benda tu kat belakang rumah dengan penuh tawakkal. Aku cuma bawak wallet beserta phone, book & crisps tu je. Cuaca sejuk gila, patutnya aku pakai jaket yang paling tebal tu tapi nak buat macam mana, perancangan Allah itu lebih hebat. Aku pun terpaksa menanggung kesejukan dan angin kuat di Platt Field selama 2 jam sampailah habis satu buku aku baca, dan habis satu pek crisps tu aku telan. Tiba-tiba aku teringat barang-barang baru beli yang aku tinggalkan belakang rumah tadi, selamatkah mereka?

Aku berdoa pada Allah untuk menjaga barang-barang aku, dalam doa tu sempat jugak aku berbisik: "Kalau ada barang yang hilang pun, biarlah hilang sikit je jangan hilang kesemuanya". Bila Hanin mesej aku bagitau dia dah nak sampai, aku pun balik rumah dan cuba teka barang aku yang kena tinggal tadi ada lagi ke tak? Jawapannya, barang tu ada yang hilang tapi bukan semua. Yang hilang ialah barang utama iaitu set penyapu & penyodok sampah tu. Barang-barang lain semua selamat. Apapun aku bersyukur sebab Allah mengabulkan doa aku yang hina ni, dan bersyukur yang aku cuma rugi £2 je.

Dan tadi lepas balik dari ophthalmology talk kat hospital, aku singgah lagi kat kedai penyapu tu untuk beli lagi satu set. Bila aku tanya harga set yang sama macam aku beli hari tu, orang tu kata £2.50 pulak. Mujurlah ada set jenis lain sikit yang harga £2 je. Wah, berkiranya aku kan! Bukan berkira, aku cuma pelik takkanlah dalam masa 2 hari dah naik harga. Aku rasa harga dia fluctuate ikut orang yang menjual. Hari tu orang lain yang jaga kedai, hari ni orang lain pulak. Entah-entah kedai tu boleh bargain, aku pun berkira-kira la nak bargain set £2 jadi £1.50 je. Tapi tengah aku bermain dengan perasaan tu, orang tu mintak aku tolong jagakan kedai dia dalam 2 minit sebab dia nak solat jap.

Bila dengar dia nak solat, ditambah lagi dengan suara bacaan al-Quran yang dipasang kat dalam kedai tu, hati aku jadi sejuk. Aku pun redha duit aku yang tak seberapa tu, biarlah dia ambil untung lebih dari aku pun. InsyaAllah ada ganjaran yang lebih dari Allah untuk mereka yang ikhlas membantu sesama Muslim. Amin. Sebelum aku beredar dari kedai tu, orang tu sempat cakap "Syukran sister". Aku jawab "Afwan" dan berlalu dengan hati yang tenang dan sekarang lebih tenang sebab dah dapat sapu bilik.

p/s: Masa first time aku pergi kedai tu dulu pun aku dah tau kedai tu muslim punya, orang Somalia. Dia yang tegur aku dulu dengan soalan "Are you Malaysian or Indonesian?"

:: wallahu a'lam ::

Jumaat, 14 Oktober 2011

pesto oh pesto

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Sebelum aku datang Manchester ni, aku plan nak gunakan tempoh setahun kat sini untuk belajar masak. Manalah tahu balik nanti kalau ada jodoh dapat kahwin, mestilah kena masakkan untuk suami. Tapi setakat ni, aku cuma pernah masak 2 kali je. Dan dua-dua tu cuma nasik goreng, haha. Aku memang dah lama pandai masak nasik goreng, nak la jugak masak benda-benda yang lain sikit. Aku pernah cakap dengan Imah dan Hanin, nak belajar masak dari dorang tapi dorang gelak pulak sebab ingat aku bergurau dan dorang tak percaya. Wa~ kelakar sangat ke umur 26 tak pandai masak?

Imah kerja part time kat kedai makan, dan memasak tu pun salah satu tugas dia kat situ. Jadi dia memang pandai masak macam-macam, tapi aku tak berpeluang nak tengok dia masak kat dapur sebab dapur tu kecik sangat. Kang kalau aku datang untuk 'tolong tengok', takut jadi sempit pulak dapur tu sampai susah Imah nak masak. Tapi hari tu aku sempat gak usya Imah masak pesto. Imah kata pesto ni simple je, paling senang nak masak kalau tiba-tiba ada orang nak datang rumah. Haha, simple bagi Imah pun dah special sangat2 bagi aku yang marhaen ni. Sob3.

Bahan-bahan:

- Bawang besar (dipotong kiub)
- Daging kisar (dipotong kiub)
- Daun seleri (dihiris)
- Mi pesto (direbus sampai kembang)
- Sos pesto 1 botol (beli ready made)
- Sliced cheese
- Serbuk lada hitam & garam secukup rasa

Cara-cara:

> Tumis bawang
> Masukkan daging dan kacau sampai agak masak
> Masukkan daun seleri dan kacau sampai lembut
> Masukkan pesto dan kacau lagi
> Masukkan sos pesto, lada hitam & garam > kacau sampai sekata
> Taburkan cheese, kacau sikit-sikit dan terus tutup api.

:: wallahu a'lam ::

rolex oh rolex

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Lepas zohor tadi, aku baru je nak tidur tiba-tiba Ain mesej tanya aku buat apa hari ni. Ain kata dia bosan, jadi aku ajak dia pergi library lepas Asar. Pukul 3.30 p.m aku bangun dari tidur, mandi, solat Asar dan keluar dalam pukul 4.20 p.m. On the way, Ain hantar mesej cakap dia ada hal lain pulak. Aku pun tukar plan daripada pergi library kepada jalan-jalan makan angin, lagipun cuaca baik hari ni - still sejuk tapi tak hujan macam 3-4 hari lepas.

Aku pun round2 kat dalam Withworth Park, tengok anak-anak orang main kat playground yang cambest kat situ. Teringin gak nak main tapi tak syok la sorang-sorang. Dari Withworth Park aku patah balik ke arah Rusholme dan singgah kat kedai Islamic Life. Aku beli buku (£2) yang Kak Pau recommend masa kitorang pergi rumah beliau minggu lepas: "A Brief Illustrated Guide to Understanding Islam" oleh I.A.Ibrahim.

Dari situ aku jalan lagi sepanjang Oxford Road dan singgah di Rolex (Ya, tajuk entri ni diambil daripada nama kedai ni, bukan Rolex jam tu ok). Kedai ni lebih kurang dengan Islamic Life jugak -> jual buku-buku & barang-barang Islamik. Kat sini aku beli 3 buah buku Harun Yahya: "The Miracle of Hormones" (£3.50), "The Miracle of Creation in DNA" (£2.75) dan "Darwinism Refuted" (£4.75). Selain tu aku beli satu lagi buku "Medicine in the Light of the Qur'an and Sunnah" (£1.50) oleh Ahmed Taha. Inilah koleksi 5 buku pertama aku kat sini. Kalau carik kat carboot mungkin boleh beli lagi banyak sebab murah-murah (tak kisahlah 2nd hand pun kan). Semoga lepas ni masa lapang aku lebih terisi dengan aktiviti berfaedah.

Dari Rolex aku jalan lagi sepanjang Oxford Road sampai ke hujung Curry Mile. Ini first time aku berjalan sampai ke jalan masuk ke Platt Field, dan terus sampai ke rumah di Parkfield Street. Dapatlah aku explore sikit jalan-jalan kat sini sambil survey kedai-kedai makan yang berderet-deret sepanjang Curry Mile. Dan dapatlah jugak aku memerhatikan keindahan alam ciptaan Allah sambil memuhasabah diri dan memikirkan mimpi aku masa tidur lepas zohor tadi (mimpi yang aneh tapi sulit untuk diceritakan di sini).

:: wallahu a'lam ::

Khamis, 6 Oktober 2011

umur oh umur

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Sebelum datang Manchester ni, Mak Mah (adik Abah) ada pesan, "Jangan risau pasal umur. Dah 26 pun boleh belajar lagi". Ya, lagi 2 bulan cukuplah umur aku 26. Nak tak nak, terpaksa jugak terima hakikat yang aku dah tua, mujurlah physically aku tak berapa nampak tua. Tapi masa Mak Mah cakap tu aku tak rasa apa-apa pun sebab aku rasa takdelah tua sangat buat Masters umur 26.

Bila datang sini baru terasa ketuaanku. Masa Majlis Raya Manchester minggu lepas, ada budak Malaysia yang aku jumpa buat Masters seawal umur 21! Aku masa umur 21 baru habis matrik kot. Housemate Ain, Hally tu umur baru 23 tapi buat PhD! Ain sendiri pun baru 25. Kalau ada pun yang aku jumpa umur 26 ke atas, mesti tengah buat PhD. Wa~ Aku je ke yang tua-tua baru nak ambil Masters?

Syukurlah perasaan ni baru muncul bila aku dah sampai sini, kalau tak mungkin aku tak sungguh-sungguh nak sambung, apatah lagi ditambah dengan halangan-halangan yang melelahkan untuk sampai ke tahap ni. Tapi bila fikir-fikir balik, aku bukan keseorangan. Kak Mimi (28 tahun) pun start Masters sama dengan aku. Cuma Kak Mimi mungkin lebih beruntung sebab dia sempat kahwin dan dapat anak sebelum buat Masters.

Aku ada apa? Tapi aku yakin semua benda mesti ada hikmahnya, samada kita sedar atau tak. Rezeki setiap individu tu lain-lain. Sekurang-kurangnya aku lebih beruntung daripada mereka yang belum ada rezeki untuk buat Masters, kan? Ya Allah, permudahkanlah urusanku yang sudah agak tua ini dalam usaha menimba ilmu-ilmuMu.

:: wallahu a'lam ::

Ahad, 2 Oktober 2011

carboot oh carboot

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari ni 2/10/2011, hari ke-6 aku kat Manchester. Untuk hari pertama dan kedua aku kat sini, ada aku tulis dalam blog. Tapi untuk hari ke-3 hingga ke-5 aku tak sempat nak cerita kat blog. Aku cerita ringkas jelah kat sini, hari ke-3 tu (29/9/2011), lepas habis kelas pukul 12 tengahari aku dan Ain pergi bank NatWest. Ain setelkan apa entah, aku pulak baru nak bukak akaun. Lepas pergi bank, kitorang pergi perpustakaan sebab Ain nak fotostat dan print. Jakun betul kitorang kat library tu, haha. Dari library, singgah kat kedai Islamic Life, aku beli Quran £10. Lepas tu, kitorang makan nasik kat Jazeera kongsi satu pinggan 2 orang (£2 sorang), itupun dah kenyang gila.

Esoknya, hari ke-4 (30/9/2011), lepas habis kelas pukul 12 tengahari jugak, kitorang pergi perpustakaan lagi sebab Ain ada benda nak print. Dari perpustakaan, aku ikut Ain balik rumah. Rumah Ain memang cantik. Kat rumah Ain aku sempat pilih baju yang housemate dia jual, makan nasik dan berkenalan dengan Adyda & Hally. Dari rumah Ain, aku balik sendiri tapi singgah kedai fotostat untuk copy nota-nota kelas yang aku dah missed. Kat depan kedai tu ada jual simcard Lyca £5, aku pun beli je sebab call landlines kat Malaysia cuma 1/2p seminit, Lebara yang aku guna sekarang 5p seminit. Lyca 10 kali ganda lebih murah untuk call ke fixed line Malaysia. Tapi bila dah balik rumah baru aku teringat, bila masanya aku nak call rumah sebab tiap-tiap hari dah Skype dengan family.

Esoknya, hari ke-5 (1/10/2011), aku bangun pagi tengok Kak Aribah tengah buat roti jala untuk Majlis Raya Manchester kejap lagi. Aku pun tolong memandangkan dorang dah start memasak dari malam tadi tapi aku tak tolong apa-apa pun sebab dah tertidur lepas maghrib. Lepas tu aku bersiap pergi UMSU (Student Union) naik bas Fingland dengan Kak Aribah. Imah & Hanin pergi naik Stagecoach/Magic Bus dengan Kiki dan Risa. Kat Majlis Raya tu aku berkenalan dengan budak-budak postgrad lain, Zarin, Djasmin, Kak Rabiah & Aisyah. Lepas makan, aku ikut Ain balik rumah lagi sebab kitorang nak pergi city. Lepas zohor, kitorang (aku, Ain, Hally) pun bertolak ke Piccadilly naik bas. Kat Piccadilly aku shopping kat Poundworld (£5), Argos (Duvet £8.99) & Primark (£12). Sempat gak naik the Wheel of Manchester dengan harga student (£5.50). Balik tu aku naik bas sorang sebab Ain dan Hally naik bas lain. Bila dah sampai Rusholme, bas berhenti tapi belum sempat aku turun, bas dah jalan sebab driver tak perasan aku nak keluar. Sabar jelah, terpaksa aku turun kat next stop dan jalan kaki ke rumah.

Esoknya, hari ke-6 (2/10/2011), iaitu hari ni. Pagi-pagi lagi aku keluar dengan Imah, Hanin, Aman, Risa & Aisyah naik kereta ke Car Boot Sale (Carboot). Aku pun tak tau kat mana lokasi Carboot tu, aku ikut je. Aku memang dah lama teringin nak pergi Carboot sebab Abah kata kalau nak barang murah carik kat situ. Kat Carboot tu aku beli cermin panjang (£2), sangkut baju (50p) & 3 helai kot (£1, £4.50 & £10 setiap satu). Sebenarnya ada satu kot yang aku berkenan sangat-sangat (yang paling aku berkenan antara semua kot kat Carboot tadi), harga £5 je, tak pernah dipakai (menurut penjual tersebut). Saiz dia memang ngam-ngam tapi aku tak terus beli sebab aku nak habiskan satu round Carboot tu. Tapi bila aku patah balik kat gerai tu, kot tu dah dijual. Wa!!! Ruginya. Tapi takpe, mesti ada hikmahnya. Sempat jumpa Dr Shouib kat sana, dia yang tegur aku. Balik rumah dah pukul 1petang, aku solat zohor dan tidur. Aku set alarm pukul 4 petang sebab lepas Asar aku plan nak pergi worldwide tapi aku tebangun dekat pukul 6.30 petang. Maghrib masuk 6.45petang, fuh~ Aku sempat mandi jap dan solat Asar. Lepas tu solat maghrib, mengaji, online, solat Isyak dan online lagi sampai sekarang. Sekarang dah pukul 1.40 pagi, so aku kena tidur dulu.

:: wallahu a'lam ::

anggur oh anggur

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Taman Anggur kat Sik, Kedah.






:: wallahu a'lam ::

Selangor Ria 2010

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Tarikh: 21/12/2010
Lokasi: Perkarangan Stadium Shah Alam







































TUAH?

Zaman kegemilangan (atas) dan zaman kejatuhan (bawah).


:: wallahu a'lam ::