Isnin, 31 Januari 2011

krisis Mesir

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Aku memang jarang baca suratkhabar tapi setiap hari aku dengar radio. Beberapa malam lepas on the way balik rumah dari tempat kerja, seperti biasa aku dengar IKIM.fm dalam kereta (memang tak pernah tutup radio sebab radio kereta tu dah rosak tak boleh off). Aku perasan DJ Kak Ani malam tu banyak siarkan benda-benda yang berkaitan dengan nasib saudara seIslam kat negara luar (kata-kata semangat, nasyid, qunut nazilah etc) dan aku cuma terbayangkan Palestin.

Aku memang jarang baca suratkhabar tapi setiap hari aku buka Facebook. Aku tak sure semalam atau hari sebelumnya aku terbaca komen seorang kawan aku kepada kawan dia "Aku dengar kat Mesir ada rusuhan sekarang ni", tapi aku anggap tu rusuhan biasa. Mesir memang negara yang banyak konflik dari dulu sampai sekarang.

Aku memang jarang baca suratkhabar tapi hari ni aku cuti dan pagi tadi aku sempat baca Kosmo tajuk muka depan: "Keadaan di Mesir Masih Runcing". Aku hanya mampu mendoakan agar mereka aman semula. Lepas habis baca Kosmo, Ummi dapat call dari Mak Usu tanya pasal keadaan Allamah kat Mesir. Ya Allah, aku baru teringat aku ada adik kat Mesir! Entah macam manalah keadaan dia sekarang.

Sebelum ni, aku buat tak endah je tapi bila teringat Allamah ada kat sana, baru aku concern sikit (Ish3... patutnya kena sentiasa concern & alert dengan keadaan negara Islam yang lain sebab mereka juga saudara kita). Aku terus bukak Facebook, ada kawan post link ke blog Krisis Mesir, Nasib Pelajar Kita. Aku pun mula update dengan situasi kat Mesir melalui blog tu. Memang keadaan agak serius dan aku mula risaukan Allamah. Aku yakin Ummi mesti jauh lebih risau. Aku turun bawah untuk tunjukkan blog tu kat Ummi tapi beberapa kali aku masuk bilik Ummi, Ummi masih tengah tidur.

Lepas Asar tadi Ummi kata Allamah dah reply mesej (rupanya Ummi tengah tunggu khabar Allamah dari tadi).
Allamah kata: "Keadaan tenang tapi banyak trak dan kereta dah serupa bangkai".
Aku cakap: "Entah-entah Allamah sengaja cakap tenang sebab taknak Ummi risau"
Ummi kata: "Tapi dia kata trak dan kereta dah macam bangkai tu faham-faham jela kan"
Huhu. Ternyata Ummi masih risau despite kata-kata "tenang" Allamah.
Ummi kata lagi: "Ummi tanya dia, tak boleh balik ke? Dia kata tunggu keadaan betul-betul serius baru balik"
Aku sengaja provok Ummi: "Suruh je dia balik, tak payah tunggu betul-betul teruk la. Bukannya belajar pun dalam keadaan sekarang ni".
Ummi diam. Aku tau Ummi memang nak tengok Allamah selamat tapi Ummi taknak paksa Allamah balik. Ummi taknak kacau niat suci Allamah untuk menuntut ilmu di bumi Anbiya' tu. Ummi ketepikan perasaan Ummi demi cita-cita anak-anak.

:: wallahu a'lam ::

tolong pakaikan frame

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Masa baru join Utama dulu, Utama buat kursus induksi untuk semua optometris baru. Aku masih ingat kata-kata seorang senior dalam salah satu slot kursus tu, lebih kurang macam ni: "Kalau ada uncle (customer) yang jenis suka manja-manja, korang pakaikan frame tu kat muka dia. Baru dia suka".

Aku sangat tak bersetuju, aku nak buat sales ni pun dah cukup baik tapi aku cuma nak jual spek, bukan jual diri ok! Kalau nak cuba frame tu pandai-pandailah pakai sendiri ye~ Kalau dah takde tangan tu takpe la jugak nak aku pakaikan. Takpun budak-budak yang tak reti pakai spek tu memang haruslah aku tolong kan. Nak buat sales pun tak payah la sampai merendahkan diri sendiri. Nanti dia beli spek tu bukan sebab dia betul-betul suka frame tu tapi sebab suka kat orang yang serve dia. Aku lagi sanggup tengok dia tak beli spek tu daripada beli tapi tak ikhlas.

Kat MOG pulak, suatu hari dalam refraction room.
Customer: Encik X, seorang lelaki Melayu dalam lingkungan 30-an.
Seperti biasa lepas habis cek mata...
Aku: "Ok, dah siap. Boleh la bukak (trial) frame tu".
Encik X: "U bukaklah"
Aku buat-buat tak dengar, tapi dalam hati:
"Hello~ Orang Cina pun tak pernah mintak aku tolong tanggalkan frame tu, tiba-tiba ada pulak orang Melayu yang patutnya tau halal haram suruh aku tolong tanggal."
Bila aku buat tak tau tu pandai pulak dia bukak sendiri.
Dalam hati aku: "Heh, ingatkan tak reti tadi"

Walaupun salah satu moto MOG kata "Customer is Our Boss", tak semua benda kita kena ikut diorang. Benda yang out of our jobscope tak payah layan! Walaupun tolong pakai/bukakan spek tu satu benda yang common dilakukan oleh penjual spek, tapi aku tak rasa ia termasuk dalam skop kerja aku except in certain situations. Dan aku rasa tindakan aku tu agak bijak sebab esoknya Encik X call nombor kedai nak cakap dengan aku dan ajak aku keluar! (Of course rejected). Tengok... Orang yang mengada-ngada ni mesti ada niat lain punya, sebab tu kita tak boleh layan sangat. Orang biasa takkan kesah pun kena buka/pakai sendiri frame tu.

p/s: Semalam ada lagi seorang customer Melayu buat hal, pelik gak sebab aku pun sedar aku tak cun tapi... memang pelik! At last aku suruh Nefyn je settlekan mamat tu. Sebab tu aku prefer customer Cina dari Melayu, tapi malangnya customer Cina prefer salesgirl Cina jugak yang serve diorang.

:: wallahu a'lam ::

ang pow

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Semalam aku dapat angpau dari big boss MOG. Aku pun tak kenal dia, cuma yang aku tau MOG ada 2 orang bos besar iaitu Frankie Ng & Henry Ng (adik-beradik). Xie xie ah boss. Tak sangka dapat angpau walaupun aku baru sebulan join MOG, aku ni Melayu pulak tu! Masa kerja dengan kompeni Melayu sebelum ni, tak dapat sesen pun duit raya walaupun masa raya tu aku dah kerja 4-5 bulan kat situ. Jika ada rezeki aku jadi bos, insyaAllah aku akan cuba bersedekah pada pekerja-pekerja setakat yang termampu - Allah suka, pekerja pun akan suka. Lagi banyak kita memberi, insyaAllah lagi besar Allah akan bukakan pintu rezeki untuk kita.

:: wallahu a'lam ::

Jumaat, 28 Januari 2011

gagah vs marah

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Pagi tadi Slot Warna Pagi kat radio IKIM.fm bersama DJ Siti & Pian membincangkan pasal topik "Mengawal Marah". Petang tadi pulak aku baca solusi isu #28 ada artikel bertajuk "Gagah Mampu Menahan Marah". Sebut pasal gagah ni aku teringat satu hadis Rasulullah s.a.w:

"Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi
daripada orang mukmin yang lemah,
sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata : 'Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini', tetapi katalah: 'Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan', kerana perkataan "kalau" itu membuka jalan kepada hasutan syaitan."

Antara mukmin-yang-kuat dan mukmin-yang-lemah, mestilah kita pilih yang pertama tu kan. Tapi siapakah yang dimaksudkan sebagai 'kuat' tu? Yang badan besar ke? Yang suka pukul orang ke? Salah satu sifat orang yang kuat disebut oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis:

"Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi
yang dikatakan gagah itu orang yang dapat menguasai
(mengawal) dirinya ketika marah"

Jelas! Siapa yang rasa dia tak mampu lagi menahan marah, maknanya dia belum cukup kuat lagi dan tak layak lagi dikatakan gagah.

"Orang yang paling gagah perkasa diantara kamu semua ialah
orang yang dapat mengalahkan nafsunya diwaktu marah
dan orang yang tersabar diantara kamu semua ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia berkuasa untuk membalasnya"

Mungkin ada yang kata:
"Aku memang macam ni la, cepat naik darah"
"Aku keturunan Bugis, jangan berani buat aku marah"
"Marah tu memang sifat semulajadi aku"

Memang tak dinafikan marah tu fitrah, semua orang ada perasaan marah bila berada dalam keadaan-keadaan tertentu. Itu kita tak boleh elak. Tapi yang kita boleh kawal ialah reaksi dan respon kita terhadap keadaan tersebut. Adakah kita akan bertindak mengikut nafsu atau menahan diri dari menghamburkan kemarahan tersebut? Perasaan marah memang tak boleh dibuang tapi sifat pemarah boleh dibetulkan.

Pengalaman aku sendiri, dulu akulah ikon 'Singa' kat rumah. Adik aku salah sikit je, siap lah satu kampung dengar aku memekik. Tapi sekarang aku dah insaf sikit daripada terikut sangat perasaan marah tu. Cuma kadang-kadang tu terlepas jugaklah. Maklumlah, sabar pun ada hadnya kan. Huhu, maknanya aku pun belum cukup gagah lagi. Tapi sekurang-kurangnya aku lebih gagah dari dulu. Ingatlah kalau kita ikutkan perasaan marah tu, kita hanya akan rasa puas masa tu je (itupun kalau puas), tapi masa akan datang banyak keburukan yang akan hadir dari perbuatan kita tu. Jagalah hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia.

:: wallahu a'lam ::

Sabtu, 22 Januari 2011

XL

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Masa mula-mula dapat kerja dengan MOG tu, aku mintak uniform saiz M & L. Bila aku pakai yang L tu macam cukup-cukup makan je, takdelah sendat sangat tapi aku biasa pakai baju yang lebih longgar. Yang M tu aku tak cuba langsung sebab aku yakin kalau L pun dah cukup-cukup makan, yang M mesti lagi ketat. Even yang L tu pun adik-adik aku dah bising kata aku pakai baju sendat.Aku pun call Catherine kat HQ nak mintak tukar yang M tu dengan XL, sebab XL mesti akan longgar sikit dari L. Catherine terkejut aku mintak saiz XL. Dia kata tak tau la ada stok ke tak, kalau ada dia akan bagi. Berminggu-minggu aku tunggu stok XL tu, terpaksa la aku pakai satu baju yang sama je setiap hari (yang L tu la). Mujurlah aku masuk kerja pukul 12, sempat la nak basuh baju pagi tu sebelum pergi kerja. Baju tu pun memang senang nak kering.

Tiba-tiba semalam aku datang kerja, ada baju XL untuk aku. Aku baru je nak call semula Catherine, bagitau dia kalau takde XL dapat L pun takpe. Tapi dah dapat ni, bersyukurlah. Habislah semua staf MOG OU tu tau aku mintak baju saiz XL. Semua pun macam terkejut. Tanya macam-macam.
"U pakai saiz XL?"
"Yang U pakai ni pun dah besar, buat apa U nak tukar XL pulak"
"U bukannya besar pun nak pakai XL"
"Takde orang lain pakai XL, U sorang je"
"Orang lain pakai saiz S dan M je"

Aku jawab sikit-sikit je: "Saya suka pakai baju longgar-longgar". Kalau mereka orang Islam, ini mungkin waktu terbaik untuk berdakwah dan bercerita tentang aurat tapi sekarang semuanya bukan Islam. Rasanya belum sesuai untuk aku cerita kat diorang pasal konsep aurat yang sebenar dalam Islam, takut nanti diorang rasa Islam ni leceh, itu tak boleh, ini tak boleh. Yang lebih penting sekarang, aku kena tunjukkan keindahan dan kemuliaan Islam. Dan biar mereka tahu, memang ada orang Islam yang seksi tapi tak semuanya macam tu. Beberapa hari lepas, Ah Fong pernah tanya: "Orang Melayu memang kena pakai tudung ke? Kenapa ada yang tak pakai? Siap pakai seksi-seksi lagi."

:: wallahu a'lam ::

Khamis, 20 Januari 2011

customer oh customer

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari tu ada seorang customer aku masa kat Utama TTDI lalu depan MOG OU. Aku jadi serba salah, tak tau nak letak muka kata mana. Sebenarnya ramai je customer Utama shopping kat OU ni sebab OU kan sebelah TTDI je, tapi aku rasa yang lain tu tak perasan kot aku pernah kerja kat Utama sebab aku pun tak lama sangat kat Utama. Cuma customer yang sorang ni aku rasa dia mesti ingat aku sebab aku banyak kali pakaikan contact lens kat mata dia sebab dia tak lepas lagi nak pakai sendiri.

Aku tak tau la macam mana bila aku kerja kat MOG Sek.7 Shah Alam nanti. Sebab Utama Shah Alam pun kat Seksyen 7 jugak! Mesti akan jumpa customer Utama jugak nanti. Nampaknya aku kena bersedia bagi jawapan kalau orang tanya kenapa aku dah tak kerja dengan Utama. Kalau boleh biar diorang jadi customer kat kedai baru aku pulak. Ya Allah, bantulah aku menghadapi segala yang bakal berlaku nanti. Permudahkanlah urusanku, ya Allah yang Maha Menentukan dan Maha Memudahkan.

:: wallahu a'lam ::

Isnin, 17 Januari 2011

lagu SRI Hira'

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Lebih kurang 20 tahun yang lepas, aku sekolah kat SRI Hira'. Adik beradik aku semua sekolah rendah kat situ dari Akak sampailah Alqamah. Bila Alqamah masuk SRAI, yang bawah-bawah dia pun ikut masuk SRAI, dengan itu tamatlah generasi kitorang kat Hira'. Tapi tahun ni Ummi masukkan Amru darjah 1 kat Hira' Shah Alam. Bila aku belek-belek buku tulis Amru, ada lagu SRI Hira' - tak berubah, masih sebijik dengan lagu yang kitorang nyanyi 20 tahun dulu. Aku pun ingat lagi rentak dia macam mana. Huhu, nostalgik sungguh!

Putera Puteri SRI Hira'
Bertekad dan berazam
Mengabdikan diri kepada Allah
Mengikut contoh Nabi Muhammad
Agar menjadi insan yang kamil
Ilmu Diamal Iman Ditingkat


Berusaha gigih menuntut ilmu
Kami semua tak jemu-jemu
Beramal soleh sepanjang waktu
Beriman kepada Allah Yang Satu


Begitulah janji takkan kami mungkiri (2x)
Sabar menempuh semua rintangan
Ikhlaskan niat jadi ingatan
Keredhaan Allah kami harapkan


Dengan barisan pendidik mulia
Membimbing mengasuh hingga berjaya
Kami bersyukur, Kami berbangga
Mendapat bimbingan daripada mereka

Lirik : Abu Along
Lagu : Abu Along

:: wallahu a'lam ::

konsep halal

:: bismillahirahmanirrahim ::

Dalam entri aku sebelum ni, aku pernah cakap Jason recommend aku makan kebab kat 2nd floor OU tapi sampai sekarang aku tak try lagi sebab aku tak nampak lagi logo halal kat kedai tu. Kalau diikutkan memang biasanya kebab halal kan, tapi kat OU ni aku tak berapa yakin, aku cuma berani beli makanan kalau kedai tu display logo halal. Banyak lagi kedai makanan lain kat OU boleh letak logo halal, tapi kenapa kedai kebab tu tak letak? Mungkin sebab orang dah anggap kebab tu memang satu makanan yang halal, so tak payah dah nak letak logo halal. Satu hari Jason tanya aku lagi:

Jason: Dah try dah kebab kat atas tu?
Aku: Belum.
Jason: Kenapa?
Aku: Sebab takde logo halal.
Jason: Kebab tu halal la. Takde babi, dia guna ayam je.
Aku: Bukan babi je yang tak halal. Ayam pun boleh tak halal kalau salah cara potong.
Jason: Oh, sebab tak baca doa ye. You baca la sendiri doa tu. Beef pun sama ke?
Aku: Sama la, ada cara potong dia untuk bagi dia halal.
Rijot: (Tiba-tiba menyampuk) Makanan apa yang korang cakap ni?
Aku: Kebab kat atas tu saya tak sure ada halal ke tak.
Rijot: Oh... kebab tu memang halal. Ramai Melayu makan kat situ.
Aku: Tak semestinya kalau ramai Melayu tu maknanya halal.
Rijot: Jangan risau, makan je. Memang halal punya.
Aku: Takpe, banyak lagi makanan lain yang saya lagi yakin.
Jason: Takpelah nanti I bukak kedai kebab yang ada halal.
Aku: Ala, kat luar banyak je kebab yang halal kalau saya nak.

Aku tau bila aku cakap macam tu boleh timbul 2 kemungkinan berbeza:
1) Mereka tau bahawa halal tu bukan semata-mata takde babi.
2) Mereka akan rasa Islam tu terlalu strict, nak makan pun susah.

Semoga aku sempat terangkan kat dorang kenapa Islam haramkan babi sebelum aku tinggalkan OU untuk ke outlet baru kat Shah Alam. Biar dorang tau, Islam letak banyak syarat dalam memilih makanan tu sebenarnya untuk kebaikan dan kesihatan kita, bukan untuk menyusahkan.

:: wallahu a'lam ::

bayar saman MBSA

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari ni first time aku pergi bayar sendiri saman dan first time jugak aku masuk bangunan MBSA. Aku kena saman 3/1/2011 hari tu sebab parking luar petak kat Seksyen 18. Seksyen 18 ni memang kena hati-hati, kalau salah parking sekejap je pun dah kena saman. Nasib baik RM30 je, tapi  lepas 2 minggu akan naik jadi RM50, lepas tu naik RM80 pulak. Hari ni 17/1/2011 cukup-cukup je 2 minggu aku dapat saman tu, kalau aku bayar esok dah jadi RM50.

Saman MBSA bolehlah dikatakan murah berbanding DBKL, dapat-dapat surat saman je dah kena RM100. Aku pernah kena sekali masa aku kerja kat TTDI dulu tapi aku tak bayar pun sampai sekarang, tak taulah kalau Abah dah bayarkan sebab tu kan kereta Abah. Tak baik betul aku. Aku sebenarnya memang tak kesah sangat pasal saman ni sampailah beberapa minggu lepas ayah aku ada saman terkumpul sebanyak seribu lebih termasuk saman untuk Kancil Abah yang aku guna tu. Banyak saman sebab over-speed kot. Aku tak pernah tau kalau Kancil yang aku bawak pernah kena speed trap tapi yang pastinya aku memang selalu langgar speed limit walaupun Kancil tu cuma 850cc je. Oh kasihan si Kancil yang lemah tu. Sejak dapat tau pasal tunggakan saman Abah tu, aku rasa bertanggungjawab atas saman yang berpunca dari kesalahan aku. Taknak la sebab aku yang buat salah, Abah pulak yang kena bayar saman beribu-ribu.

Apapun, ada hikmahnya aku kena saman ni. Dapat la jugak pengalaman baru bayar saman. Dan baru aku tau macamana nak masuk ke dalam bangunan MBSA tu, selama ni nampak dari luar je.

:: wallahu a'lam ::

Ahad, 16 Januari 2011

perkahwinan idaman

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Sejak hujung tahun lepas sampailah bulan 2 nanti, ramai kawan-kawan aku dah dan akan berkahwin. Aku pun menerima tempiasnya iaitu aku asyik terima kad undangan je, bila bukak FB pun ada je event invitation dan gambar-gambar kahwin. Bila selalu sangat tengok kahwin orang ni aku berangan la bentuk majlis kahwin aku nanti (walaupun aku sendiri tak tau aku kahwin atau tak).

- Semua guna duit sendiri (bukan buat loan kahwin)
- Mekap sendiri (simple dan jimat)
- Cameraman pilih adik beradik atau kawan-kawan je (jimat)
- Hantaran untuk lelaki biar dia beli sendiri apa yang dia nak.
- DJ mestilah islamik - ni pun ambil adik beradik atau kawan-kawan je.
- Satu je baju pengantin dari akad nikah sampai habis kenduri.
- Baju pengantin mesti yang senang nak bawak solat dan menutup aurat.
- Kalau boleh nak buat kenduri sekaligus belah laki dan perempuan.
- Dapat share kenduri dengan Akak pun ok gak tapi macam tak sempat je.
- Goody bag bagi barang yang berguna untuk semua orang dan tak mungkin akan dibuang oleh tetamu tu (Tak sure lagi barang apa. Selama ni aku memang suka buang goody bag dan barang-barang dalam tu sebab aku rasa macam takde function. Janganlah ada orang buat macam tu kat aku nanti, aku taknak membazir).
- Makanan tak kesah sangat tapi bukan yang tipikal tu (aku tak minat acar buah dan pajeri nenas).
- Nak guna katering atau rewang tu tengok keadaan.
- Nak buat khemah depan rumah atau kat dewan tu pun tengok keadaan.

Kita hanya mampu merancang, tapi Allah je yang layak menentukan.

:: wallahu a'lam ::

sementara dia masih ada

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Katakan kita sangat sayangkan A. Mesti kita akan rasa sedih dan pilu yang amat sangat kalau A pergi meninggalkan kita selama-selamanya. Tapi kita akan berganda-ganda lebih sedih jika kita tak sempat nak buktikan kasih sayang kita kat A. Selama A masih ada, kita selalu berbalah dengan dia, selalu tak hiraukan kata-kata dia. Mestilah pemergian A akan terasa begitu memilukan. Kita memang tak dapat menghalang kepulangan orang tersayang kepada pencipta-Nya tapi kita dapat mengurangkan kepiluan yang dialami semasa pemergiannya. Kalaulah selama hidupnya kita selalu sakitkan hati dia, ingatlah bila dia pergi nanti kita akan rasa sangat menyesal dan itu akan menambah kepiluan kita atas pemergiannya. Biarlah dia pergi dengan tenang dan kita pun tenang semasa pemergiannya. Hargailah orang yang kita sayangi selagi mereka masih ada, tak kira samada mereka adalah ibu bapa, adik beradik, guru-guru mahupun kawan-kawan kita.

:: wallahu a'lam ::

dilasour

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Haha... (awal-awal lagi dah gelak). Tengok la tajuk post aku kali ni. Ummi pun gelak bila orang tanya alamat emel aku. Boleh dikatakan hampir semua kawan-kawan aku kenal nick 'dilasour' tu. Aku dapat nama tu masa tingkatan 4 (SAMBest) untuk buat alamat emel dilasour@yahoo.com. Sampai sekarang akaun tu masih aktif. Kemudian masa tahun 4 kat UIA, aku buat Gmail pulak guna ID yang sama - yang aku guna untuk buat blog ni la~  Alamat blog ni dan blog sebelum ni pun guna 'dilasour', malas nak pening-pening carik nama lain. Macam mana aku dapat nama tu?

Masa tu ada pameran dinosaur kat The Summit USJ. Kawan-kawan tanya: "Dila pergi tengok dino tak?". Baru aku perasan nama aku ada ala-ala nama dinosaur, cuma takde -saur tu je. Daripada nama dinosaur, aku boleh tukar huruf N tu kepada huruf L jadi 'dilosaur' tapi macam tak best sangat. Aku pun tukar kedudukan huruf A dan O, jadilah 'dilasour'. Biarlah orang kata dilasour = dila masam, yang penting aku rasa nama tu best. Sampai sekarang orang suka tanya: "Adik beradik dinosaur ke ni?". Memang asal-usul nama tu ada kaitan dengan dinosaur cuma aku jarang sangat cerita kat orang pasal ni.

:: wallahu a'lam ::

Antara Dua Cinta

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Dari dulu lagi aku suka sangat bait-bait lagu ni. Sangat menginsafkan.


Lagu: Antara Dua Cinta
Artis: Raihan


Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa
Bila hilang apa yang diburu..
Timbul rasa jemu bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan... leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintaMu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh


p/s: Doa Abu Bakar r.a:
"Ya Allah, jadikanlah dunia di tangan kami bukan di hati kami."
Hanya akhirat sahaja di hati kita. Insya Allah.

:: wallahu a'lam ::

kifarahkah itu?

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Semalam aku ambil Ain dari terminal bas Shah Alam sebab lepas zohor kitorang nak pergi kenduri kahwin Radzi & Fizah sama-sama. Sampai depan rumah, aku park kereta kat tepi longkang. Kebetulan kat tempat duduk belakang ada kotak biskut, aku kena keluarkan biskut tu sebab kejap lagi Amilah dan Aisyah nak duduk kat situ. Aku pun bawak kotak yang lebar tu sambil pegang kunci kereta dan beg duit yang tak berzip rapat. Beg duit aku bukan sebuah dompet tapi sebuah pencil case kanvas yang aku dapat free masa beli back pack Line 7 kat Sungai Petani dulu. Boleh jugak dinamakan hand bag sebab dalam tu aku letak macam-macam: duit, IC, lesen, bank cards, orang punya name cards, resit-resit, malah handphone, mini note book, buku  derma darah, pendrive, bedak & lip balm! Entah macam mana, beg duit aku tu terlepas dari pegangan dan menjunam masuk ke dalam longkang kat tepi tu, berteraburlah segala isi perut dia sebab memang aku tak sempat nak zip balik lepas draw duit kat ATM Shell tadi.

Longkang tu agak tinggi, bahaya kalau aku lompat dari situ. So, aku kena jalan jauh sikit carik tebing yang tak berapa tinggi, baru boleh masuk dalam longkang. Aktiviti sebelum pergi kenduri kahwin ialah masuk longkang, huhu tak sesuai. Masa barang-barang tu dah berjaya dikeluarkan dari longkang, semuanya dah basah kuyup. Handphone still hidup tapi dia tulis: "Insert SIM". Aku pun keluarkan bateri, SIM card dan memory card dia untuk bagi dia kering dulu. Tak dapat la aku guna handphone tu masa nak pergi kenduri nanti. Oh! Segan aku dengan Ain, ada-ada je yang tak kena bila dia datang. Dulu dia datang sini, kereta buat hal tak boleh start sebab dah kena tukar bateri. Ujian apakah ini? Tiba-tiba aku teringat satu kesalahan yang aku buat semalamnya, aku belum dihukum atas kesalahan tu. Adakah ini hukumannya, sebagai kifarah dosa yang aku buat tu? Kalau ya, aku redha dan bersyukur sebab aku lebih rela terima hukuman dunia dari hukuman akhirat.


p/s: Adoi, hari ni aku sakit perut dan cirit birit - idiopatik. Sebab kenduri semalam ke? Wallahu a'lam. Yang penting aku kena sabar, redha dan bersyukur sebab ini pun mungkin kifarah atas dosa yang aku perasan atau tak perasan. Alhamdulillah.

:: wallahu a'lam ::

islam vs melayu

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Semalam masa takde customer, Dylan cakap kat aku: "I nak masuk Melayu la, boleh kahwin empat". Aku pun tak pasti apa motif sebenar dia cakap macam tu, mungkin nakkan penjelasan pasal isu ni dan ada kemungkinan jugak nak perli aku. Atau dia betul-betul serius? Wallahu a'lam. Yang pastinya aku kena berhati-hati bercakap pasal benda ni demi menjaga nama baik Islam.

Aku tersenyum je, I took it as a joke. Tak sempat aku jawab apa-apa, Jason dah kata: "Islam and Melayu are separate things, Islam is a religion while Melayu is a race. Ada je orang Melayu yang bukan Islam". Dylan agak terkejut: "Ada meh? Bukan semua orang Melayu mesti Islam ke?". Jason tunjuk kat aku: "She told me." Memang aku yang bagitau Jason macam tu seminggu sebelum tu dan Jason sendiri pun terkejut bila aku cakap macam tu.

Perbualan kami dengan pantas masuk ke macam-macam topik berkaitan agama Islam, daripada bab kahwin empat, bab tukar agama, bab makan babi, bab mayat tak dibakar, bab tanah kubur etc. Albee paling semangat tanya bab kahwin, Rijot kadang-kadang je mencelah, Dylan dan Jason yang paling banyak cakap. Fong, Lim & Everett cuma dengar je. Dorang tak berani sangat cakap benda-benda yang sensitif ni, tapi aku ok je, tak rasa pun benda tu sensitif. Aku cuba jawab seadanya, tak terlalu ilmiah tapi masih menjaga nama baik Islam.

Tapi ada satu main point yang aku tak sempat nak cakap kat Dylan sebagai respon pada soalan dia awal-awal tadi. Aku patut cakap macam ni: "You mana boleh masuk Melayu sebab kita tak boleh tukar bangsa kita. You cuma boleh masuk Islam but u're still a Chinese, can never be a Malay because race is genetically determined". Biar dorang tau, masuk Islam tak bererti dorang masuk Melayu. Mereka masih boleh amalkan budaya sebagai orang yang berbangsa Cina tapi mengamalkan ajaran Islam. Sebab aku tau ramai orang Cina yang berat nak masuk Islam sebab taknak jadi Melayu.

:: wallahu a'lam ::

Sabtu, 15 Januari 2011

yang dihargai

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Sekarang dah lebih pukul 12 malam dan aku tengah makan sup daging sambil berblog padahal hampir semua orang tau aku bukan jenis yang suka makan malam. Family aku kata aku on diet (OD), ya memang aku OD tapi jangan ingat diet tu maksudnya untuk kurus semata-mata. Diet aku bukan diet untuk kurus badan, tapi untuk kesihatan. Tapi kenapa aku makan jugak tengah-tengah malam ni?

Waktu rehat pertama tadi aku makan mihun yang aku bawak dari rumah. Kenyang. Waktu rehat kedua pulak aku makan Beard Papa's Cream Puff (kastard dia penuh gila sampai tumpah kat kain hitam aku, kalau tumpah kat baju putih lagi naye...) & burger yang dalam dia ada chicken floss + slice etc (tak ingat nama  burger & nama kedai roti tu). Kenyang kuasa dua. Tu belum campur air mineral > 2 liter yang aku habiskan dalam masa beberapa jam je.



Hari ni One Utama (termasuk MOG) tutup pukul 10.30 malam tapi aku habis kerja macam biasa, pukul 10 malam. Kedai-kedai lain pun tak tutup lagi masa aku keluar tu, so aku pun singgah la ZARA kat ground floor untuk survey black coat for ladies - still tak jumpa kot yang boleh menandingi kot yang aku jumpa kat FYI (1st floor). Sebelum bayar tiket parking, aku beli aiskrim soya kat Q-bean (baru hari ni aku perasan dia ada logo halal). Sepanjang aku kerja kat situ, hari ni first time aku betul-betul kenyang sebelum balik rumah. At last dekat pukul 10.30 jugak la aku keluar dari One Utama.

Aku sampai depan rumah dalam pukul 11 lebih sikit. Elok-elok je aku park kereta depan rumah sebelah, tak sempat lagi free gear and handbrake, Abah call. Tak pernah-pernah pulak Abah call aku time ni? Aku tak suka dapat call pada waktu yang tak dijangka sebab nanti aku terfikir yang bukan-bukan. Naudzu billah. Rupanya Abah cuma nak tanya aku kat mana sebab biasanya pukul 11 malam aku dah sampai rumah (baru beberapa minit lewat, Abah dah call). Masuk dalam rumah:

Ummi: Adilah nak makan sup daging?
Aku: Esok la kot, dah malam ni.
Ummi: Ummi selalu tengok Adilah balik-balik je carik makanan kat dapur. Sebab tulah hari ni Ummi tinggalkan sup tu untuk Adilah.
Aku: Sebab selalu carik makanan asik takde je, hari ni Adilah pun makan banyak-banyak kat sana sampai kenyang (sambil gelak).
Abah: Kalau makan esok dah tak sedap dah. Sup ni  sedap sangat tau, setaraf dengan kedai (jarang Abah puji macam tu). Lagipun ada sikit je tu nanti orang lain habiskan dulu.
Aku: Oklah, Adilah naik dulu nanti Adilah turun balik.

Disebabkan sekarang aku tengah kenyang yang amat sangat, aku tak kisah pun kalau esok sup tu dah tak sedap ataupun dah habis. Tapi demi menjaga hati Ummi & Abah dan meraikan pelawaan mereka, aku makan la jugak sup ni. Selari dengan berakhirnya entri ni, sup yang aku bawak naik atas ni pun dah nak habis. Ya Allah, aku bersyukur kerana masih mempunyai ibu ayah. Aku sangat menghargai nikmat ini tapi aku masih belum lagi menunjukkan tanda penghargaan tu di hadapan mereka. Ya Allah, janganlah Engkau tarik nikmat ini selagi aku masih memerlukannya. Berilah kesempatan untuk aku membuktikan betapa aku sangat menghargai mereka. Amin.

:: wallahu a'lam ::

di bangku itu

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Lokasi: Bangku depan Reject Shop, One Utama.

14/1/2011: Aku duduk kat bangku tu untuk makan pizza yang aku beli kat Baker's Cottage sebab aku rasa tu je tempat yang sesuai. Tiba-tiba makcik kat sebelah tegur aku dan kami pun berborak lama sampai dah nak habis waktu rehat aku yang cuma 1 jam tu. Akhirnya aku yang terpaksa meminta diri walaupun agak tak sampai hati.

15/1/2011: Aku duduk kat bangku tu lagi untuk makan mihun yang aku bawak dari rumah. Baru je aku nak start makan, tiba-tiba uncle kat sebelah tegur aku dan kami pun berborak. Tak lama kemudian isteri dia datang dan duduk di tengah-tengah antara kami dan aku pun berborak dengan isteri dia pulak. Mujurlah tak lama sangat sebab lepas tu dorang berdua bangun untuk meneruskan shopping. Aku pun sambung makan mihun dengan rasa aman.

Tengah aku khusyuk makan, David lalu dan kami sempat bergurau sekejap sebelum dia berlalu semula. Aku sambung lagi makan mihun. Tak sempat aku habiskan mihun tu, datang pulak seorang budak perempuan duduk kat sebelah aku. Baru beberapa minit dia duduk, dia pun tegur aku dan tanya itu ini. Tapi sebab dia orang muda, takdelah aku rasa bersalah sangat nak tarik diri. Habis je suapan terakhir mihun tu, aku pun meminta diri untuk solat. Tak boleh lambat-lambat nanti tak sempat tidur lagi macam semalam!


:: Dalam masa 2 hari je (semalam dan tadi),
banyak kenangan yang aku dapat kat bangku kayu tu ::


16/1/2011: Aku cuti!

17/1/2011: Cuti lagi!

18/1/2011: Mungkin aku akan ke bangku tu lagi untuk makan sebab memang biasanya aku beli makanan yang take-away je. Ada lagi tak orang yang akan tegur aku nanti ye... Best jugak berborak dengan macam-macam orang tapi tak nak lah lama sangat~

:: wallahu a'lam ::

Selasa, 11 Januari 2011

Alluring Eyes

:: bismillahirrahmanirrahim ::


Dulu trend colored contacts, sekarang muncul pulak contacts warna gelap (hitam / coklat) yang boleh bagi mata nampak besar. Brand yang paling familiar sekali dengan contacts jenis ni ialah Freshkon Alluring Eyes. Zaman sekolah dulu (masa tu tak pernah tau pun apa tu Optometri) aku pernah nak cuba colored contacts tapi orang kat kedai spek tu kata power silau aku tinggi dan tak sesuai pakai contacts. Kalau nak pakai contacts yang ada power silau (masa tu aku tak pernah kenal term toric lens lagi), harganya mahal. Bila dah ambil optometri baru aku ada peluang pakai contacts tapi semua yang clear jelah, dan yang lebih penting semuanya... FREE !!! Astigmatism (rabun silau) aku takdelah tinggi sangat, dalam -0.75 & -1.00 tapi kalau pakai contacts yang bukan toric, vision aku jadi tak best. Alluring Eyes pun takde yang toric, so aku pun tak bersemangat nak try.


Maka sampai sekarang lah aku tak pernah pakai contacts berwarna dan tak pernah lagi spend duit untuk beli contacts... haha. Sebenarnya, satu lagi sebab kenapa aku rasa berat nak pakai colored contacts ni sebab aku tak sure apa hukumnya yang sebenar di sisi agama Islam so dia jadi syubhah untuk aku. Lagipun contacts yang ada kaler ni block lebih banyak oksigen yang masuk ke mata berbanding clear contacts. Dan sebenarnya aku memang tak payah susah-susah pakai Alluring Eyes sebab mata aku yang asli ni pun orang ingat pakai Alluring Eyes. Tak larat dah dengar orang kata: "Awak pakai contact lens yang besarkan mata tu eh?". Ada jugak orang pernah tanya: "Ada tak contact lens macam yang awak pakai ni" - walhal masa tu aku tengah pakai spek. Apapun, seharusnya aku bersyukur atas kurniaan Allah sebab adik-beradik aku semua mata besar-besar. Alhamdulillah.


:: wallahu a'lam ::

Isnin, 10 Januari 2011

masuk asrama

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari ni seorang lagi adik aku baru masuk asrama iaitu Arifah. Memang satu kebiasaan dalam keluarga aku, masuk je form 1 mesti akan duduk asrama walaupun sekolah kat Shah Alam je. Siap buat rayuan lagi kalau tak dapat tempat kat asrama. Tapi biasanya masa adik-adik aku yang lain baru masuk asrama, aku sendiri pun tengah duduk kat asrama. Jadi takdelah terasa sangat 'pemergian' tu. Hehe. Sekarang baru aku rasa macam mana perasaan Ummi selama ni bila seorang demi seorang anak masuk asrama, tapi perasaan Ummi mestilah lagi kuat sebab beliaulah yang mengandungkan, melahirkan dan mendidik anak-anak beliau. Sungguh tabah hati Ummi. Aku yakin mesti Ummi lagi sedih masa nak lepaskan Allamah pergi ke Mesir 2 tahun lepas, tapi Ummi korbankan semua perasaan tu demi kejayaan anak-anak di masa depan. (InsyaAllah Allamah balik Malaysia bulan 7 ni, I'm sooooooooo waiting for it).

Bila Arifah dah masuk asrama ni tinggallah Ataullah, Amilah dan Amru kat rumah. Tapi tiga-tiga ni pun pergi sekolah pagi-pagi, manakala aku, Abah, Akak dan Alqamah pergi kerja, maka tinggallah Ummi keseorangan kat rumah tanpa seorang pun kawan. Mujurlah ada budak dan mak budak belajar mengaji kat rumah, bolehlah jugak mengubat kesunyian Ummi. Berbalik kepada Arifah tadi, dia dapat masuk MITS (Maahad Integrasi Tahfiz Sains) kat Klang. Sekolah JAIS kedua yang buat Tahfiz-Sains selepas MITIB. Sebenarnya Arifah memang sangat berharap nak masuk MITIB tapi dapat MITS pun ok jugak, takdelah jauh sangat. Arifah pun tak kisah sebab dua-dua pun ada Tahfiz dan Sains. Dia memang sangat bercita-cita tinggi nak jadi seorang hafizah sampai kat FB pun guna nama "Hafizatul Husna" (lepas ni kurang-kurangkan sikit FB tu ye). Mudah-mudahan berjaya menjadi hafizah yang betul-betul 'husna' dan dapat mengharumkan nama keluarga. Amin.

:: wallahu a'lam ::

Jumaat, 7 Januari 2011

snek jalanan Taiwan

:: bismillahirrahmanirrahim ::


1 Utama sangat besar, aku pulak malas nak jalan jauh untuk carik makan sebab nak kena jimat guna waktu 1 jam untuk makan dan solat. Biasanya aku makan kat Nyonya Colors je, dekat dengan surau dan makanan dia pun masuk dengan selera aku. Hari tu Jason beli kebab kat tingkat atas, dia suggest aku try kebab tu. So masa rehat aku pun naik eskalator ke 2nd floor untuk ke kedai kebab tu. Selang 3 kedai dari tempat kebab tu ada kedai makanan Taiwan: Shihlin Taiwanese Street Snacks, siap ada logo halal lagi.

(Tengok kat menu ni ada 4 makanan je, Sweet Potato Fries tu kira baru lagi kot.)

Menu dia tak banyak pilihan tapi semua nampak macam best. Ada 5 jenis makanan. Aku pun beli Seafood Tempura dan Sweet Potato Fries. Berbaloi jugak sebab isi dia banyak dan sedap! Tapi aku tak sempat nak habiskan masa waktu rehat, on the way balik rumah malam tu baru aku habiskan. Memang kenyang tapi tak puas sebab dah sejuk sangat tempura tu, so aku berazam untuk beli lagi tempura tu esok dan makan panas-panas. Esoknya aku beli lagi Seafood Tempura dan Handmade Oyster Mee Sua. Mi suah tu memang special sebab ada banyak tiram yang besar-besar.

(Sweet Potato Fries)

(Seafood Tempura)

(Handmade Oyster Mee Sua)

Jangan risau, aku memang tak reti guna copstik.

Cuma aku belum cuba XXL Crispy Chicken (besar sangat, takut tak larat nak habiskan) dan Crispy Floss Egg Crepe. Mungkin lain kali bila ada rezeki, insyaAllah.

:: wallahu a'lam ::

kerja kedua

:: bismillahirrahmanirrahim ::

28/12/2010 aku bekerja semula, kali ni kat MOG One Utama. Bulan 2 nanti insyaAllah aku akan publish entri tentang kronologi pembabitan aku dalam MOG. Keadaan dan suasana MOG memang sangat jauh berbeza dengan UTAMA. Antara perbezaanya:


1) MOG banyak guna optician, UTAMA semua optometris. Aku adalah optometris ke-3 dalam MOG seluruh Malaysia (Bro Nazrul is also one of the three).

2) MOG dalam shopping complex, UTAMA kat shop lot - jenis customer pun berbeza.

3) MOG guna open concept, UTAMA guna closed concept. Kemungkinan untuk customer datang singgah lebih ramai kat MOG, staf pulak tak boleh duduk relax sebab customer boleh nampak dari luar.

4) MOG takde internet, UTAMA ada - boleh online selalu bila takde customer.

5) MOG OU staf semua Chinese kecuali aku, UTAMA semua Melayu. Aku nampak ramai Chinese customer yang prefer di-entertain oleh staf Cina.

6) MOG parking kat dataran (RM1 per entry), 15 minutess walk away from shop - boleh kurus aku camni. UTAMA parking depan kedai je.

7) MOG bagi rehat 1 jam untuk lunch, 1 jam untuk dinner so waktu lunch tu aku keluar pukul 4-5 pm untuk solat zohor & asar, waktu dinner pukul 8-9 pm untuk solat maghrib & isya'. UTAMA boleh solat bila-bila, kita sendiri pilih nak solat awal waktu atau sebaliknya.

8) MOG nak solat kena jalan jauh sikit untuk ke surau. UTAMA ada surau dalam kedai.

9) MOG kena pakai uniform, UTAMA takde uniform.

10) MOG balik pukul 10 pm, UTAMA balik pukul 9 pm.

11) MOG waktu malam nak keluar dari car park tu banyak kereta - jammed, UTAMA pulak malam-malam dah sunyi.

12) MOG staf semua berborak dalam bahasa Cina, aku cuma mampu terpinga-pinga bila diorang buat lawak. UTAMA cakap BM, memang aku faham tapi aku tak berapa minat nak join topik dorang.

Kalau tengok secara kasar memang UTAMA menang dalam banyak hal dan kat MOG pulak banyak benda yang melecehkan - tapi aku anggap semua tu cuma masalah remeh je. UTAMA cuma bermasalah dari segi admin je tapi masalah tu jauh lagi besar dan stressful berbanding semua masalah yang aku hadapi kat MOG (sekurang-kurangnya buat masa ni).


:: wallahu a'lam ::

Bank Negara

:: bimillahirrahmanirrahim ::

~Sesat di Kuala Lumpur, dosa dan pahala bercampur~
Semalam (Jumaat 7/1/2011) aku pergi Bank Negara dengan Abah untuk buat CCRIS (laporan kredit). Ini first time aku pergi Bank Negara, aku tak sure Abah pernah pergi Bank Negara ke tak sebelum ni. Biasanya kalau nak pergi tempat yang aku tak biasa, aku akan Google Map dulu jalan ke tempat tu. Tak pun aku ambil public transport je lagi senang, kan ada komuter station Bank Negara. Tapi aku tak rasa abah nak naik tren, lagipun Abah kata dia tau jalan ke sana. Maka kami pun naik kereta ke sana.

Kat federal highway, Abah terlepas exit Bangsar. Faham-faham jelah kat highway ni kalau dah terlepas bukan senang nak patah balik. Kami pun menonong jelah meneruskan perjalanan sampai Muzium Negara, Abah tanya direction kat Pak Guard muzium tu. Akhirnya kami sampai jugak kat Pusat Bandaraya di mana terletaknya bangunan-bangunan bank yang besar-besar termasuklah Bank Negara. Bangunan Bank Negara dah depan mata tapi kami tersalah ambil jalan masuk, maka sekali lagi terpaksa menonong untuk kembali ke pangkal jalan.

Akhirnya kami nampak semula bangunan Bank Negara tu dari jauh tapi tak tau macam mana nak ambil jalan ke sana. Masa lampu isyarat merah pun tak tau nak masuk lane mana, main tibai je. Masa lampu merah tu sempat lagi Abah suruh orang kereta sebelah tu turunkan cermin tingkap untuk tanya jalan ke Bank Negara. India tu cakap, "Pakcik ikut saya, tapi nanti saya naik atas, pakcik turun bawah". Terima kasih banyak-banyak kat Uncle tu, akhirnya entrance Bank Negara betul-betul di kanan kami tapi masalahnya jalan tu tak boleh belok kanan. Terpaksalah carik tempat U-turn yang sangat jauh.

Bila dah masuk dalam, parking penuh pulak. Abah suruh aku turun dulu sementara tunggu ada tempat parking yang kosong. Dalam bank, ada 3 kiosk untuk buat CCRIS layan diri, boleh print terus kat situ. Aku cuba buat kat kiosk no.2 (pilih bahasa > masukkan IC > letak ibu jari > tunggu keluar maklumat > cetak). Tapi bila sistem tu dah verify cap jari aku, dia kata "no respond" pulak. Aku ulang beberapa kali kat kiosk yang sama dan kat kiosk no.3, hasilnya tetap sama. Aku tanya kat kaunter, dia kata kena cek manually dan aku kena bagi IC dan lesen (2 dokumen pengenalan diri diperlukan either license, passport, bill etc).

Hasil CCRIS aku: "no record found". Kakak yang jaga kaunter sempat tanya kat aku tujuan aku buat CCRIS bla3. Aku pun sempat tanya beberapa soalan yang berkaitan kat beliau. Abah punya boleh buat kat kiosk je, hasilnya abah ada tak bayar duit rumah 3 bulan daripada bulan 10. Abah kata nak bayar balik bulan ni sebab masa tu nak guna duit untuk budak-budak masuk sekolah. Aku simpati kat Abah. Aku berazam akan membantu kewangan Abah, walaupun terpaksa mengorbankan hasratku untuk sambung belajar. InsyaAllah. Perjalanan ke Bank Negara menimbulkan banyak perasaan, antaranya stressed dengan suasana KL yet bersyukur sebab  KL ada semua benda, senang aku nak buat apa-apa urusan.

:: wallahu a'lam ::