Selasa, 17 Januari 2012

library oh library

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Sekarang dah pukul 9 pagi, jap lagi aku nak pergi John Rylands Library untuk study Genetics dengan Ain. Musim-musim exam ni kena datang awal, kalau lambat sampai library alamat takde tempat la untuk aku... penuh gila. Imah kata aku pelajar cemerlang sebab selalu dok kat library padahal kat library tu pun bukan 100% study, dalam 55% je kot. Selebihnya: makan, sembang, fesbuk, solat etc. Tapi aku tetap suka pergi library, itu memang hobi aku sejak kat UIA dulu bersama-sama Muni dan Sab.

Masa kecil dulu pun suka jugak kalau Abah hantar kitorang pergi library Shah Alam. Sekarang ni budaya minat library tu dah turun kat adik-adik aku yang kecil. Pantang cuti je mesti dorang nak pergi library sampai kami yang dah dewasa ni kena letak syarat kalau nak pergi library kena buat kerja dulu, macam kemas rumah ke, basuh baju, cuci tandas etc. Dorang pun anggap dapat pergi library tu sebagai reward, dan terus sanggup buat kerja tu semua demi nak pergi library.

Tapi kesukaan aku untuk ke library masa kecik tak sama dengan masa kat UIA, apatah lagi dengan masa sekarang ni. Kalau masa kecik, aku suka pergi library sebab nak carik buku cerita yang best-best, kalau tak sempat baca kat library siap pinjam bawak balik rumah. Kat UIA pulak, aku pergi library bukan untuk carik buku apatah lagi nak meminjam buku library. Tapi aku pergi sebab nak study untuk exam pasal kat bilik aku tak boleh fokus.

Kat sini pulak, aku pergi library bukan untuk carik tempat senyap untuk study. Aku dan Ain study kat lobi je yang memang diketahui umum akan kebisingannya. Memang saja taknak study kat tempat senyap sebab nanti lagi stressed kot. Antara sebab lain aku suka pergi library kat sini:
- Senang nak pergi makan
- Boleh exercise jalan kaki pergi balik library
- Duduk kat bilik rasa macam tak cukup oksigen sebab tak boleh bukak tingkap
- Time winter ni bilik aku sangat sejuk, heater tak cukup kuat
- Kat bilik ada katil dan duvet yang selesa tapi merbahaya
- Kat library boleh tengok pelbagai jenis manusia
- Kat library boleh usya orang
dan ada beberapa sebab lain.

Oklah aku kena siap sekarang untuk pergi library. Oh ya, musim exam ni John Rylands Library bukak 24 jam, jadi ramailah yang berkampung kat situ sampai bertikus dah tingkat bawah tu. Ini kisah benar walaupun kedengaran pelik. Memang aku geli tikus, tapi kadang-kadang terhibur jugak tengok gelagat cik tikus yang malu-malu bila nampak kitorang. Tikus pun suka pergi library, haha!

:: wallahu a'lam ::

Isnin, 16 Januari 2012

exam oh exam

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Jap, nak lap sawang-sawang kat blog ni jap. Fuhhh. Ok sebenarnya aku memang takde idea nak tulis apa, lagi-lagi dalam musim exam ni. Tak tahulah kenapa sejak dua menjak ni aku macam tak tau nak cakap apa, even dengan Ain pun aku banyak dengar je, tak banyak cakap. Aku dah berubah jadi pendiam ke? Oh lupa pulak aku memang pendiam dari dulu. Aku dapat momentum nak menulis ni pun sebab tadi baru lepas membebel (eh tadi kata pendiam? konpius!) kat Ain suruh dia tulis kat blog instead of tulis berjela-jela kat Facebook.

Sambil membebel kat Ain lepas habis exam Ophthalmic Investigative Techniques tadi, otak aku ligat berfikir sambil mengutuk diri sendiri, "Ceh cakap berdegar-degar, padahal blog sendiri pun bukan setakat dah bersawang, siap bertikus lagi". ---> ini namanya metafora (yeke? aku tibai je) bukan penipuan. Otak aku menyambung lagi, "Sampai bilik sat lagi wajib update blog, kang buat malu je kalau tiba-tiba blog Ain yang dibuka atas paksaan aku tu pulak yang lebih aktif dari blog si pemaksa.

Baik. Memandangkan sekarang musim exam, aku cakap pasal exam jela. Aku ada dua papers je, selain paper yang aku ambil tadi, ada satu lagi Jumaat ni iaitu Genetics of Eye Diseases. Walaupun satu daripada dua papers dah berlalu, tapi darjah keserabutan hidup masih berada pada tahap yang tinggi iaitu 78% sebab subjek Genetics adalah penyumbang terbesar pada keserabutan tersebut berbanding keserabutan yang disumbangkan oleh Investigative Techniques. Abaikan bahasa aku yang bajet macam ayat buku pasal kononnya banyak membaca jurnal, buku, lecture notes dan lain-lain bentuk penulisan skema.

Tapi sebenarnya aku tak patut cakap macam tu kat Genetics kan. Patutnya aku kena positif dan bersangka baik pada beliau. Yela-yela aku acah-acah je tadi, sebenarnya aku nak cakap Genetics tu ialah subjek kegemaran aku dan aku yakin akan skor dengan baik (eh baik je, kenapa tak cemerlang eh?) dalam subjek ni. Soalan: Cis tadi kata takde idea nak tulis apa, tapi sekarang dah panjang pulak mengarut-ngarut ni pehal? Jawapan: Sebab takde idea la jadi banyak mengarut. Kalau dah tau secara spesifik apa benda nak ditulis, takdelah meleret-leret macam ni. Macam aktiviti menggoreng esei masa exam la, orang yang ada points dalam kepala punya esei lagi pendek dari esei orang yang main tulis ikut kepala dia.

Ha, cakap pasal exam ni baru aku teringat nak tulis pasal cerita aku emosional sebelum exam tadi. Exam aku tadi start pukul 2pm, so sebelum tu aku taip SMS yang berbunyi... Jap, nak cek balik kat handphone. Ok bunyi dia dengan ketepataan ejaan 100%: "Salam. Hari ni adilah periksa, doakan adilah boleh jawab semua soalan dgn baik. Amin. Tk" dan send kat nombor Umi dan Abah. Umi balas (cek hp balik): "Wslm,stlh brusha & brdoa,lbih2 lg dlm musafir,Allah akn mkbulkn,INSYAALLAH". Eh mana Umi tahu aku dah berusaha dan berdoa? Aku tak bagitau pun. Hoho, sebenarnya maksud umi ialah: Kalau nak berjaya, sila berusaha dan berdoa.

Abah pulak balas (cek hp lagi): "Abg&umi dsna sntsa doakn kjyaan cmrlang buat adilah dnia &akhrt...amin." ---> aku salin bulat-bulat SMS abah sekali dengan typo-typo sekali. (Abg = Abah, dsna = di sini). Sila maafkan typo abah sebab beliau sudah berusia 58 tahun. Aku tau patutnya bila nak exam orang akan call mak ayah mintak maaf dan restu, tapi aku pulak hantar SMS je pastu ayat pendek pulak tu. Maafkan saya (apasal tiba-tiba sopan ni?), setiap orang ada cara masing-masing. Aku rasa macam baru je sembang lama dengan Umi kat telefon, kang kalau aku telefon lagi penat pulak dia nak layan aku sembang lagi, dah la waktu kat Malaysia tak sama dengan waktu sini.

Ya itu cuma alasan, mak ayah mana la yang tak seronok dapat sembang dengan anak-anak yang jauh di mata walau sesibuk mana pun mereka kan. Aku mengaku sebenarnya aku yang takut tersembang lama sebab banyak lagi topik yang aku tak habis hadam lagi tadi. Jadi aku hantar SMS je bagi menjimatkan masa. Bukan masalah caj telefon sebab aku guna Lebara mobile yang membolehkan aku call sesiapa pun di Malaysia pada kadar yang murah (tetiba jadi duta Lebara). Oklah stop talking nonsense. Sebenarnya aku nak cakap yang aku terharu dengan SMS-SMS dari Umi dan Abah tu.

Bila dapat SMS Umi tu, aku rasa lebih semangat sebab Umi semacam menaruh keyakinan yang tinggi pada aku padahal aku sendiri pun takdelah yakin mana sebelum tu. Aku sedar yang aku dapat sampai sini pun atas doa Umi, bukan atas hasil usaha aku walaupun kedatangan aku ke sini adalah atas keinginan aku sendiri bukan keinginan beliau. Tapi keinginan dan usaha aku takkan membawa aku ke sini tanpa doa Umi. Aku yakin akan hakikat ni. Sebak jap. Aku tau Umi yang sungguh-sungguh doakan aku dapat sambung Masters sebab dia tau itu impian aku. Umi tak cakap yang beliau doakan aku tapi aku tau dan yakin, semuanya atas berkat doa beliau. Sekarang dah keluar air mata.

Ya Allah rahmatilah kedua ibu-bapaku sebagaimana mereka mengasihi aku. Amin.

:: wallahu a'lam ::

Ahad, 1 Januari 2012

mahasiswa oh mahasiswa

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari ni 01.01.12. Tahun baru. Seperti biasa pagi-pagi aku akan bukak Facebook untuk tengok perkembangan terbaru terutama kat Malaysia. Ada dua berita paling hangat kat News Feed pagi ni, pertama pasal sambutan tahun baru yang Islamik di Dataran Kemerdekaan Shah Alam menampilkan Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak sebagai watak utama. Aku telefon Umi pagi tadi pun, Asim cerita pasal diorang pergi tengok sambutan tu. Huhu, jealous gak tak dapat pergi sambutan yang julung-julung kali diadakan tu. Apapun aku berbangga sebagai rakyat Selangor.

Satu lagi berita lain yang aku lebih tertarik ialah pasal keganasan polis terhadap mahasiswa yang berdemo di UPSI malam tadi (malam tahun baru). Aku tahu mahasiswa memang bukan 100% betul, tapi kita sebagai yang lebih dewasa kena faham jiwa dorang. Patutnya kita treat dorang macam anak-anak dan bukan sebagai musuh. Bila anak-anak buat silap, kita patut betulkan dengan berhikmah bukan dengan keganasan. Mahasiswa bukan pengganas cuma bila dorang nakkan sesuatu tu, mereka akan bersungguh-sungguh untuk dapatkan benda tu. 

Menggunakan keganasan tak akan melunturkan semangat mahasiswa, tapi akan memarakkan semangat  berkobar-kobar dorang dan malah ditambah lagi dengan api kebencian yang sebelum ni masih dapat dikawal. Keganasan tak membawa kebaikan pada dua-dua pihak. Api tak akan mampu dipadamkan oleh api. Dan lebih teruk lagi, keganasan tu bukan saja menimbulkan kebencian dalam kalangan mahasiswa yang terlibat tapi juga dalam masyarakat luar termasuk aku. Terus terang, aku menangis tengok video ni pagi tadi:


Sebab aku teringat adik-adik aku yang juga mahasiswa dan juga mempunyai semangat yang sama. Aku sendiri masa zaman mahasiswa (sekarang dah upgrade jadi mahasiTUA) pun punya semangat yang sama. Jiwa muda, darah muda, semangat membara, makin dihalang makin menjadi-jadi, tapi pasti ada cara untuk menangani, yang pastinya bukan dengan keganasan sebab itu cuma akan memburukkan keadaan. Mahasiswa bukan musuh untuk diserang, bukan juga anak kecil untuk dikongkong. Bayangkan anda ada anak sebaya dorang dan anak tersebut diperlakukan begitu sekali hanya disebabkan kenakalan yang kecil.

Entri ni memang agak emosi tapi masih tak menggambarkan keseluruhan emosi aku pasal isu ni. Selamat tahun baru 2012. Azam aku tahun ni ialah untuk menamatkan dua perkara iaitu masters dan zaman bujang.

:: wallahu a'lam ::